Friday 14 October 2016

Pengalaman Pertama Cuba Berniaga Bazaar


Teks: Nasriah Abdullah
Foto: Nasriah Abdullah


Ramai memandang rendah terhadap peniaga kecil-kecilan. Mereka beranggapan bahawa yang mula berniaga kecil-kecilan ini akibat desakan hidup dan terlalu miskin sedang mereka belum mencuba dan merasai sendiri keseronokkan dalam dunia perniagaan. 

Teringat sewaktu mula berniaga bazaar setahun yang lalu. Seingat Rieya, 3 hari 3 malam sebelum tiba hari bazaar suami tak henti-henti bertanya sama ada Rieya betul-betul yakin dan nekad boleh buat seorang diri. Maklumlah sorang-sorang  jaga booth dari pagi ke malam. Kalau nak makan, nak ke toilet, layan customer ramai-ramai yang datang serentak, mampu ke buat. Tambah pula pengalaman berbazaar, zero.

Bagi Rieya, kalau tak bermula sekarang nak tunggu sampai bila? Kalau tak cuba sekarang sampai bila nak cipta pengalaman berbazaar?  So Rieya pejam mata dan yakin boleh. Untung rugi semua belakang kira. Apa yang penting adalah bermula dan cipta pengalaman baru walau beraksi solo mengatur dan mengurus semua persiapan dan perjalanan di booth bazaar.

Alhamdulillah. Allah beri Rieya peluang merasai susah payah berbazaar.  Rieya bersyukur dan sangat seronok berniaga. Dari satu bazaar ke satu bazaar Rieya sertai. Setiap bazaar, Rieya raih pengalaman yang berbeza.  Walaupun cuma 2 hingga 3 hari setiap bazaar yang dianjurkan tapi hasilnya lebih besar dari gaji sehari sewaktu Rieya bekerja makan gaji. Biasalah adat orang berniaga. Ada pahit dan ada manis. Ada untung dan rugi tapi Rieya dapat banyak pengalaman dan pengajaran dari kerja-kerja ini.


Cabaran Mulakan Bisnes

Rieya bermula dengan kosong. Idea yang datang atas desakan hidup. Berpunca dari hutang-hutang tertunggak. Kerja bertahun-tahun tapi simpanan tak pernah kekal lama dalam bank. Setiap bulan duit belanja tak perna cukup. Bila tak cukup, simpanan jadi mangsa. Duit tabung juga selalu jadi sasaran. Pelaburan saham juga habis terpakai. Walau syiling juga digorek dalam tabung.

Empat bulan pertama berhenti kerja terasa indah. Seronok tak terkata. Masa semua dihabiskan dengan anak-anak di rumah. Penghujung bulan keempat tiba-tiba terasa dihempap batu besar. Sana sini pegawai bank  hubungi. Telefon dibiar berdering. Barang kemas habis digadai untuk tutup sementara hutang yang ada. Dari situ baru tersedar. Rieya perlukan pendapatan.

Mohon kerja baru tidak pernah berhenti. Sana sini permohonan dilayangkan. Rezki permohonan tak pernah putus cuma gaji yang ditawarkan kurang berkenan. Bukan sebab berkira dan memilih kerja cuma membandingkan harga barang harian tidak setimpal dengan gaji yang ditawarkan. GST sudah bermula. Untuk apa bekerja makan gaji, jika duit gaji bulanan hanya habis diatas jalan sedang anak-anak di rumah perlukan susu, pampers dan pelbagai belanja harian. Jumlah gaji hanya mampu untuk menyara diri sendiri.

Bermula dari situ timbulnya idea. Idea keluar dari kesusahan hidup. Rieya harus belajar berniaga offline. Harus bermula dari kedai-kedai kecil. Namun perancangan sedikit tersekat kerana ketiadaan modal untuk bermula. Sewa kedai, modal pusingan semuanya kosong.  Nak suarakan cadangan dengan suami, mulut seperti dijahit. Kaku terkunci. Tak mampu nak luahkan hasrat. Mungkin takut suami membantah. Tambah pula duit gaji suami hanya cukup untuk tampung belanja harian. Itu pun banyak catuan dibuat. Langkah berniaga offline ditangguhkan seketika.

Satu sikap Rieya yang tak pernah putus asa. Walau sedikit kecewa, semangat dan motivasi diri dikuatkan. Sentiasa bagi semangat untuk diri sendiri. Kalau orang lain boleh buat, kenapa aku tidak? Kalau orang lain boleh berjaya, aku pun apa kurangnya? Fizikal badan cukup sempurna. Tak ada yang kurang. So dari situ, dalam diam Rieya kumpulkan duit hasil nafkah suami dan hasil jualan produk Shaklee secara online. Perancangannya untuk dijadikan modal bisnes offline.

Namun duit yang dikumpul dijadikan modal untuk belajar bina kedai online. Perancangan awal tadi sudah tersasar. Tapi Rieya yakin dengan belajar berblog juga akan mendatangkan hasil.


Berkawan Dengan 'Uncle Google'

Di awal tahun 2015, Rieya rajin berkawan dengan 'uncle google'. Pelbagai tips dicadangankan memulakan bisnes dari rumah. Tutorial bina blog juga ada. Pelbagai maklumat akademi dan upah bina blog Rieya temui.


Pada mulanya, Rieya cuba belajar sendiri ikut tutorial daripada beberapa entri di blog blogger. Berjaya cipta blog sendiri tetapi bila tahap penggunaan gadget 'java script', Rieya mati kutu. Tak tahu nak buat apa. Tak faham apa itu 'java script'. Rieya cuba berlagak peramah hubungi blogger berkenaan. Konon nak minta tunjuk ajar percuma. Maklumlah nak jimatkan duit yang ada. Blogger berkenaan juga menyapa dengan mesra. Cuma yang tak seronoknya, beliau meminta untuk baca satu persatu langkah yang diberikan dalam entri beliau. Ikut saja, tambahnya. Rieya binggung! Dah ikut semua langkah demi langkah tapi apa maksud 'java script'?

Ada pula yang meminta upah RM400 untuk sempurnakan satu blog. Itu cuma blog yang asas sahaja. Jika nak blog premium, upahnya sudah mencecah RM600 keatas. Dalam hati, mak ai mahal nya. Takkan aku nak labur RM400 ni? Lepas blog tu siap aku nak buat apa? Kalau ada tak faham, siapa nak tunjuk ajar? Nak ke orang tu ajarkan nanti? Suara hati Rieya berbisik. Memandangkan rasa berat hati nak bayar upah semahal tu. Ya cukup mahal bagi Rieya yang tidak punya hasil pendapatan sendiri. Duit belanja semua mengharapkan suami.

Doa tak pernah putus agar ditemukan dengan mentor blog yang sanggup memberi tunjuk ajar. Allah  maha mendengar segala isi hati hambanya. Di awal Februari 2015 Rieya di pertemukan dengan Puan Anys Idayu Zakaria, blogger dan juga guru online di Akademi Bekerja Di Rumah melalui blog dan fesbuk.

Rieya follow blog dan fesbuk Cikgu Anys. Banyak kata-kata positif dan semangat untuk Rieya. Sebulan rasanya asik skodeng fesbuk Cikgu Anys. Hari-hari terjah blog Cikgu Anys. Di awal Mac 2015, Rieya beranikan diri menyapa dan mohon tunjuk ajar dengan Cikgu Anys. Bermula dari situ, Rieya semakin nekad nak berguru.

Alhamdulillah, bermula Jun 2016 Rieya berdaftar di Akademi Bekerja Di Rumah. Bermulalah kisah Rieya nak jadi blogger dan buat bisnes online melalui medium pemasaran blog.


Terjebak Dengan Dunia Bazaar

Tiga bulan fokus belajar blog dan cara menarik minat pembaca untuk dijadikan pelanggan. Alhamdulillah, tiga minggu pertama belajar blog di Akademi Bekerja Di Rumah sudah berhasil walau pun ketika itu baru siap menyelesaikan tugasan entri ke-33 (minggu ke 3 berblog). Pendapatan pertama melalui blog RM150. Bagi kalian yang sudah biasa, itu mungkin kecil tapi bagi Rieya jumlah itu dikira besar.

Dengan bermodal seratus lima puluh ringgit (RM150) hasil upah buat fesbuk page, Rieya beranikan diri memulakan usaha.  Mujur sewa lot bazaar anjuran organizer Sabah Preloved Item (SPI) ketika itu sangat murah. Cuma RM150 untuk bazaar niaga selama tiga hari. Bagi Rieya yang tidak cukup modal ni sebenarnya rasa besar juga jumlah sewa RM150 tu. Apa yang menariknya bazaar ni, meja kerusi dan alas meja semua disediakan. Peniaga cuma perlu bawa barangan jualan sahaja. Setup booth jualan seawal 8.00 pagi dan siap untuk berjual beli pada 10.00 pagi.

Hari pertama bazaar, sambutan agak mengecewakan. Hasil jualan cuma dua puluh lima ringgit (RM25) sahaja yang dibawa pulang. Modal sewa sehari juga tidak lepas. Belanja makan minum dan tenaga apatah lagi.

Pulang dengan sedikit rasa kecewa. Tapi mulut tak henti berdoa moga jualan esok hari esok membuahkan hasil. Otak ligat berfikir. Macam mana aku nak tarik perhatian pelanggan datang membeli?

Tiba-tiba terfikir dengan cadangan makcik tukang sapu. Dia mencadangkan agar jual makanan seperti sarapan pagi dan makanan tengah hari untuk pekerja di sana. Ini kerana tidak ada satu food court di dalam mall berkenaan kecuali restoran westen food yang agak mahal.

"Biasalah tekak orang kampung mana biasa disumbat dengan makanan orang putih. Mahal pula tu", tambahnya lagi. Dengan cadangan itu, terfikir untuk mencuba jual kueh teow kerang untuk sarapan pagi. Makanan kegemaran anak dan suami. Makan tengah hari pula nasi campur. Satu lauk dan satu sayur cukup la.

Hasil jualan RM25 dihari pertama bazaar dijadikan modal untuk bazaar hari kedua. Cukup-cukup untuk membeli bahan mentah seperti kueh teow dua bungkus, kerang dalam tin 2, paha ayam 1 kilo, setengah kilo hati ayam dan sayur kacang panjang 2 ikat. Bahan-bahan lain Rieya guna apa sahaja yang ada di dapur.

Sasaran pelanggan Rieya ialah pelajar sekolah untuk produk kesihatan Shaklee. Jualan sarapan dan makan tengah hari pula Rieya sasarkan di kalangan pekerja-pekerja dalam mall berkenaan dan juga rakan-rakan peniaga yang lain. Alhamdulillah matlamat Rieya tercapai. Pertama, Rieya dapat bekalkan sarapan pagi dan makan tengah hari kat diorang dan kedua diorang pula tambah ekonomi Rieya.

Awal-awal pagi Rieya bangun masak kueh teow, lauk dan nasi. Bungkus siap-siap dan sedia untuk dibawa ke booth jualan. Pada mulanya rasa khuatir juga memikirkan sedap ke hasil air tangan aku? Boleh diterima ke anak tekak pelangan yang membeli? Boleh habis terjual ke tidak makanan ni? Sepanjang waktu menyediakan makanan, doa tak pernah putus  dalam hati. Semoga diberi keberkatan atas usaha yang tak seberapa. Doa semoga semua jualan makanan yang Rieya masak menjadi rezeki yang halal dan baik untuk semua pelanggan yang membeli. Begitu juga dengan produk Shaklee. Doa semoga ada juga sebotol dua yang terjual.

Hari kedua bazaar merupakan hari raptai bagi acara sambutan hari kemerdekaan pada tahun itu (2015). Alhamdulillah. Lega rasa hati. Jam 1.00 petang semua jualan makanan untuk sarapan pagi dan makan tengah hari habis terjual. Alhamdulillah. Semua habis. Yang tinggal cuma minuman kesihatan Shaklee yang siap dibancuh. Petang ke malam, hingga berakhirnya bazaar hari kedua Rieya cuma fokus promosi produk Shaklee sahaja. Modal sewa juga lepas. Dapat jugalah cover untuk sewa hari pertama. Hari kedua pulang dengan satu semangat baru. Rasa seronok berbazaar mula dirasai.

Esok adalah kemuncak sambutan hari kemerdekaan. Seawal 5.00 pagi, para peserta acara perbarisan sudah bersiap sedia. Sudah tentulah mereka tidak sempat sarapan di rumah. Dengan itu, idea menyediakan sarapan pagi dan makan tengah hari sekali lagi untuk mereka.

Kali ni Rieya masak lebih sikit. Jangkaan ramai pelanggan yang akan datang. Rasa letih semalam masih ada. Tapi memikirkan matlamat pulangan modal RM150 sewa bazaar, Rieya gagahkan diri memasak untuk hari terakhir bazaar. Hari ini Rieya masak telur sambal, ayam masak merah, daging kicap, sambal terung kicap, kacang panjang campur hati ayam. Kuih pula Rieya tempah 'tausa piang' enam puluh sen sebiji. Rieya jual seringgit sebiji. Dapatlah untung empat puluh sen setiap biji 'tausa piang' yang terjual. Sambil mencari pendapatan sendiri, Rieya sempat juga beri pendapatan pada orang lain. Betul tak?

Alhamdulillah. Jualan hari ketiga bazaar juga habis terjual. Jam 3.00 petang Rieya cuma fokus jual produk Shaklee. Ada beberapa pelanggan 2-3 kali datang membeli lauk yang sama iaitu telur sambal. Sedap katanya. Siap minta resepi. Lega rasa hati bila pelanggan suka dengan masakan Rieya. Kueh Teow Kerang juga mendapatan sambutan yang agak memberangsangkan. Sempat masak tiga bungkus. Ramai yang kecewa tak sempat rasa.


Tambah Kenalan Baru

Hari ketiga berbazaar ditemani mak dan suami. Anak-anak juga Rieya bawa sekali memandangkan ada acara mewarna untuk kanak-kanak. Rieya menjaga booth jualan ditemani mak. Suami pula melayan anak-anak bermain dan menyertai pertandingan mewarna. Walau pun tak menang apa-apa hadiah tapi mereka seronok. Dapat pula bergambar bersama maskot Olaf. Trend kartun frozen kegilaan ramai kanak-kanak.

Sesekali mak membantu menjaga booth jualan dan ketika pelanggan tidak ramai Rieya mengambil kesempatan meronda semua booth-booth jualan yang ada. Berkenalan dengan semua peniaga yang turut serta dalam bazaar tersebut sambil mengedar flyers Shaklee. Di samping dapat menambah kenalan baru, dapat juga berguru dengan otai-otai bazaar.


Aku Penjual, Aku Pembeli 

Sewaktu berbazaar, Rieya letakkan harga semurah mungkin. Dapat untung sikit cukuplah. Sekurang-kurangnya sambutan meriah. Jualan juga habis. Untuk bazaar kemudian hari pelanggan sudah kenal. Harga murah, rasa sedap. InsyaAllah.

Rieya juga letakkan diri sebagai pembeli. Suka membeli barangan dengan harga murah tapi berkualiti. Jika makanan, sudah tentunya nak yang sedap dan berbaloi dengan harga yang ditetapkan. Jadi begitu juga yang Rieya buat ketika berniaga. Cuba sedaya upaya menyediakan makanan yang bersih, rasa yang sedap dan berbaloi dengan harga.

Tipulah kalau tak ada rasa nak letak harga tinggi sikit. Nak dapat untung lebih. Rasa tamak dalam hati tu ada. Tapi Rieya belajar dari pengalaman sebagai pembeli. Biar untung sikit tapi pelangan sentiasa ada dan tidak pernah putus. Nak berniaga bukan sehari dua tapi kalau boleh biarlah anak cucu jadi pewaris hasil titik peluh Rieya.

Bak kata peniaga veteren, biar bermula dengan sedikit dan lambat, asalkan kukuh dan bertahan lama. Walau pun sikit asalkan berkat. Barulah rezeki datang melimpah.


Kikis Sifat Boros

Sepanjang berbazar, Rieya dapat mengikis sifat boros. Sebenarnya Rieya taklah boros sangat pun. Cuma sewaktu bekerja makan gaji dahulu, kalau berkenan dengan sesuatu barang tu dah sah confirm nak beli. Lebih-lebih lagi supermarket bersebelahan je dengan office. Bila-bila masa ada jualan murah pasti ada saja di bawa pulang. Mak pun selalu membebel bila ada saja Rieya kirim untuk mak dan adik-adik. Lebih baik simpan duit tu di bank katanya. Susah nanti ada juga boleh diguna. Betul kata mak.

Alhamdulillah. Semenjak berbazaar ni dapat juga mengekang sikap boros. Tak beli lagi beli barang-barang yang tidak berapa penting. Barulah sedar mengumpul duit itu lagi bagus daripada membuang duit! Hahaha... dalam hati padan muka! Siapa suruh tak dengar cakap mak.


Pesta Buah

Bazaar niaga kedua yang Rieya sertai adalah anjuran dari Jabatan Pertanian pada September 2015. Bazaar kali ni Rieya dengan kenalan baru. Tak tahu dari mana datangnya chemistry kami berlima. Sepakat berkongsi modal satu ratus (RM100) seorang.

Pesta buah berlangsung selama dua minggu. Barang jualan haruslah berdasarkan buah. Kami memilih menjual 'pisang cheese' yang di masak di tapak jualan. Panas-panas sudah tentu pelanggan suka. Jenis jualan tidak banyak. Cuma 'pisang cheese' (jualan utama), rojak buah dan beberapa jenis minuman seperti jus mangga, jus oren dan air bandung laici.

 

Pisang Goreng Keju

Membeli bahan mentah, memotong, menggoreng, melayan pelanggan kami lakukan bersama. Sama-sama memberi komitmen.

Pesta buah berlangsung selama dua minggu dari 10.00 pagi hingga 10.00 malam. Tapi gerai jualan, kami buka bermula 4.00 petang hingga 10.00 malam. Jika jualan habis awal, kami tutup 8.00 malam.

Sasaran jualan kami, tertumpu pada pelancong asing yang menyewa hotel berhampiran bazaar pesta buah. Alhamdulillah. Sambutan sangat luar janggaan. Adakalanya tak menang tangan kami berlima dibuatnya. Pelanggan terpaksa beratur panjang menunggu giliran.

Pendapatan bersih sepanjang dua minggu berbazaar lebih kurang 2k selepas ditolak semua segala kos perbelanjaan yang ada. Berniaga cuma 4-5 jam sehari berhasil dengan 2k. Alhamdulillah.


Hasilkan Produk Sendiri

Sepanjang setahun terjebak dengan dunia bazaar di hujung minggu, sudah dua jenis makanan Rieya cipta sendiri. Yang pertama adalah Roti Goreng Adhwa. Ini adalah cadangan dari suami. Rieya mencuba dan dia merasa. Bila suami kata sedap dan boleh jual, Rieya usahakan. Alhamdulillah. Pertama kali Rieya jual di bazaar bertemakan 'Hallowen', 40 biji terjual di hari pertama. Percubaan pertama mendapat sambutan luar jangkaan.

Pernah juga Rieya bawa menu ini ke pejabat MARA untuk dipasarkan. Banyak pula prosidurnya. Maklumlah, namanya juga makanan. Sudah tentu banyak pihak terlibat seperti JAKIM untuk sahkan halal haramnya bahan mentah yang digunakan, MARDI dan sebagainya.

Label dan pembungkusan juga diambil kira. Semuanya memerlukan modal yang besar. Oleh itu, Rieya putuskan hanya jual di bazaar-bazaar kecil sahaja terlebih dahulu. Bila modal sudah mencukupi barulah pasarkan di luar kawasan Kota Kinabalu.



Tempahan Pelanggan


Produk kedua Rieya cuba adalah 'Popia Kacang'. Maklumlah, anak-beranak penggemar 'Batang Buruk'. Idea ini muncul di minggu kedua Ramadhan. Sebenarnya kulit popia yang ada tu nak guna untuk buat Roti Goreng Adhwa tapi selalu berbazaar dalam 'shopping mall' yang tidak membenarkan proses masak memasak. Oleh itu, Rieya cuba ubah suai 'Batang Buruk' menjadi Popia Kacang by Adhwa Cookies.

Untuk permulaan Rieya buat Popia Kacang hanya 15 balang kecik dan 2 balang besar. Bagi balang kecil Rieya cuba jual RM18 untuk 45-50 biji. Bagi balang besar pula RM36 untuk 95-110 biji.

Ada juga yang bertanya kenapa kuantiti setiap balang tak sama? Maklum sajalah, tangan dua kerat ni saja yang buat. Adakalanya gulungan kulit popia tu tidak sekata. Ada pula kecil sedikit. Rieya cuma penuhkan balang yang ada. Bila saiz popia kecik, maka lebihlah kuantitinya. Jika saiznya semua besar, maka kuranglah kuantitinya. tapi yang penting, inti popia itu sendiri penuh dengan kacang panggang!


 

Popia Kacang by Adhwa Cookies

Tanpa sedar sepanjang dua minggu berbazaar dipenghujung Ramadhan, Rieya sempat jual hampir 150 balang Popia Kacang by Adhwa Cookies. Sambutan bukan saja dikalangan penduduk sekitar Kota Kinabalu. Ada juga datang dari negara Brunei yang datang beraya di Kota Kinabalu. Pelancong dari Korea, Taiwan, Cina, Hongkong, Thailand juga ada membeli. Luar kawasan Kota Kinabalu juga ada seperti Sandakan, Semporna Tawau dan Kota Belud. Jangan tak tau, Popia Kacang by Adhwa Cookies sempat terbang hingga ke Shah Alam.

Ada juga dikalangan rakan-rakan berbangsa cina sempat tempah 4 hingga 6 balang untuk kudapan di pejabat. Alhamdulillah dengan rezeki yang Allah berikan.


Mencari Jawatan Kosong

Hari demi hari beralu. Tanpa Rieya sedar, sudah satu tahun satu bulan tiga belas hari pada hari ini (13.10.2016) hidup dengan aktiviti bazaar di hujung minggu dan hari-hari perayaan. 

Pernah terbaca perkongsian seorang blogger bahawa berniaga adalah jawatan kosong yang tidak pernah penuh. Jawatan kosong yang sentiasa terbuka untuk sesiapa sahaja tanpa mengenal usia.

Kita boleh jual apa sahaja produk dan perkhidmatan yang disukai. Mahu bermula dengan modal kecil mahu pun modal besar. Bermula tanpa modal juga ada. Apa yang perlu adalah minat dan keinginkan untuk bermula. Tapi diingatkan, jangan bermula dengan pinjaman. Itu menempah maut namanya. keuntungan belum terjamin sudah berani menempah hutang. Bila perniagaan gagal siapa yang nak tolong bayar hutang?

Bila difikirkan semula, berniaga ini sebenarnya sangat mudah. Bermula tanpa modal juga boleh. Bermula dengan modal yang paling minima juga boleh. Apa yang penting usaha dan tawakkal kepada yang maha Esa. Kita hanya merancang dan Dia sebaik-baik penentu segalanya.

 



1 comment:

  1. Anda sedang mencari syarikat pinjaman kewangan sebenar untuk mendapatkan pinjaman sebanyak 10,000 euro kepada 10,000,000 euro (untuk pinjaman komersial atau perniagaan, pinjaman peribadi, pinjaman peribadi, pinjaman gadai janji, pinjaman kereta, pinjaman penyatuan hutang, pinjaman modal teroka, pinjaman kesihatan dan sebagainya. ))
    Atau adakah dia menafikan pinjaman dari bank atau institusi kewangan untuk sebarang sebab?
    Memohon sekarang dan dapatkan pinjaman kewangan sebenar. Diproses dan diluluskan dalam 3 hari.
    TANDATANGAN KEWANGAN PACIFIC Kami adalah pemberi pinjaman pinjaman antarabangsa yang menyediakan pinjaman kewangan sebenar kepada individu dan syarikat pada kadar faedah yang rendah sebanyak 2% dengan kad identiti yang sah atau pasport antarabangsa negara anda untuk pengesahan.
    Pembayaran balik pinjaman bermula pada 1 (satu) tahun selepas pinjaman diterima dan tempoh bayaran balik adalah 3 hingga 35 tahun.

    Untuk makluman segera dan memproses permohonan anda untuk sempadan dalam masa 2 hari perniagaan
    Hubungi kami terus melalui mel ini: pacificfinancialloanfirm@gmail.com

    Hubungi kami dengan maklumat berikut:

    Nama penuh: ____________________________
    Jumlah wang yang diperlukan sebagai pinjaman: ________________
    Terma kredit: _________________________
    Tujuan pinjaman: ______________________
    Hari Lahir: ___________________________
    Jantina: _______________________________
    Status Perkahwinan: __________________________
    Alamat: _______________________
    City / ZIP Code: __________________________
    Negara: _______________________________
    Pendudukan: ____________________________
    Telefon bimbit: __________________________

    Hantar permintaan anda untuk tindak balas segera ke: pacificfinancialloanfirm@gmail.com

    terima kasih

    Ketua Pegawai Eksekutif Puan Victoria Johnson

    ReplyDelete

Aroma Dapur Adhwa: Keria Gula Merah

Alhamdulillah. Penutup September dan pembuka Oktober, banyaknya berita-berita indah. Ingatkan bolehlah tidur dengan lena tapi kan sama ju...

Post Paling Popular