Monday, 16 January 2017

Ulasan Ebook: Inspirasi Bekerja Di Rumah



Teks: Nasriah Abdullah
Foto: Nasriah Abdullah
Sumber: Ebook  Inspirasi Bekerja Di Rumah, Puan Masayu Ahmad



Alhamdulillah. Sangat teruja apabila salah satu perkongsian pengalaman yang terdapat di dalam ebook terbaru ABDR, Inspirasi Bekerja Di Rumah terselit kisah saya. Sangat terharu dan rasa ya Allah besarnya rezeki yang Engkau berikan. Tidak pernah terlintas walau secalit dalam fikiran kisah sendiri terpilih sebagai sumber inspirasi kepada insan lain. Terasa diri ini belum layak menerima pengiktirafan seumpama itu. Terima kasih buat Puan Masayu Ahmad, pengasas Akademi Bekerja Di Rumah.


Apabila puan pengasas ABDR dan penulis ebook ini sendiri memaklumkan bahawa saya orang pertama dapat membaca kisah penuh Inspirasi bekerja Di Rumah, hati ini melonjak girang tak terkata. Dengan pantas memuat turun ebook yang diberikan. Berkobar-kobar hati ini ingin tahu apakah kisah menarik yang dikongsikan.

Terdapat 13 kisah mak-mak terpilih yang dikongsikan dalam ebook Inspirasi Bekerja Di Rumah. Sesungguhnya kisah mereka membuatkan saya sangat kagum dan sempat berangan, 'alangkah indahnya jika aku berjaya seperti mereka'. Tidak mengapa berangan dulu. Suatu hari nanti pasti menjadi nyata. InsyaAllah.


Berani Dan Kreatif

Di saat kegawatan ekonomi masa kini, mencari pekerjaan adalah perkara yang semakin sukar kerana persaingan sengit yang cukup besar di kalangan siswazah lainnya. Bahkan yang sudah sedia bekerja juga diberhentikan sama ada sukarela mahupun secara terpaksa. Saya adalah antara pekerja terpaksa berhenti (dalam hati sebenarnya ini satu penganiayaan tapi tidak mengapa Allah kan ada) tanpa rela.

Apa pun yang berlaku, hidup perlu diteruskan. Anak-anak dan ibu bapa (jika ibu bapa tinggal bersama) di rumah perlu diberi makan minum yang secukupnya. Beban suami juga perlu dikurangkan. Justeru, bekerja dari rumah adalah salah satu cara menghasil pendapatan tambahan.

Tapi bagaimana? Sebenarnya mak-mak yang kisahnya dikongsikan di ruangan Inspirasi Bekerja Di Rumah ini, begitu berani dan kreatif dalam mencari cara menjana pendapatan dari rumah dengan berbekalkan sumber sedia ada.

Bagaimana? Saya memilih dua contoh inspirasi yang dikongsikan oleh Puan Dila Aris dalam seni jahitan dan Puan Hayati Mohid dengan meraih pengalaman niaga jalanan.


Puan Dila Aris - Jahitan

Saya suka kisah yang dikongsikan oleh Puan Dila Aris tentang bagaimana beliau bermula dengan jahitan. Walau hanya berbekalkan bakat dan kemahiran menjahit asas yang ada, beliau berani mengambil tempahan upah jahit baju dari rumah sehinggalah berjaya membuka kelas jahitannya sendiri.

Saban hari jumlah pelajar kelas jahitan  beliau semakin bertambah namun beliau tetap gagah mengharungi cabaran serentak antara menjaga 5 orang cahaya mata sambil menjalankan kelas jahitan termasuklah tempahan upah jahit baju.

MasyaAllah. Pendapat saya, sungguh hebat ibu ini yang mampu melahirkan pelapis pelajar seni jahit, membantu insan lain menjana pendapatan dari rumah walau hanya menggunakan bakat yang ada dan lebih terinspirasi apabila beliau secara tidak langsung dapat memupuk minat anak-anak sebagai pewaris seni jahit di masa akan datang.  


Hayati Mohid - Raih Pengalaman Niaga Jalanan

Kisah yang dikongsikan oleh Puan Hayati Mohid tentang bagaimana pengalaman beliau bermula niaga di jalanan menyentuh jiwa saya. Pengalaman kami hampir sama. Situasi dan keadaan yang saya lalui juga tidak jauh beza. Yang membezakan kami adalah beliau bermula di jalanan dengan cuaca yang panas terik dan saya pula bermula di dalam mall yang sejuk berhawa dingin.

Sungguh sebak dan terharu apabila beliau bangun seawal pagi menyiapkan barang jualan, mengurus anak-anak yang masih lena untuk di bawa sekali ketika berniaga. Seperti terbayang diri sendiri dalam situasi Puan Hayati.

Dengan keyakinan yang tinggi beliau mencuba dari satu tempat ke satu tempat untuk mempromosi dan malariskan barang jualan yang ada. Berniaga secara offline perlu bijak dan kreatif dalam menonjolkan barang jualan di mata bakal pelanggan.

Walau tanpa pengalaman dan sifat pemalu yang menebal dalam diri, jangan takut untuk bermula. Pengalaman pertama itu akan banyak mengajar kita erti sebuah perjuangan dalam apa jua bisnes yang diceburi. Setiap pengalaman yang diraih akan menjana ilmu dan pengetahuan baru dan secara tak langsung sifat pemalu yang tadinya menebal pasti kian pudar tanpa kita sedari.

Ilmu perlu di tambah, bijak menggunakan media sosial kerana semuanya tersedia secara percuma dan rajin menjelajah kisah-kisah kejayaan orang lain agar membuka minda kita dalam menghasilkan sesuatu idea yang baru. Apa yang penting adalah kekalkan disiplin dalam setiap perancangan dan usaha yang berkekalan.


Kenali Potensi Diri

Potensi diri merupakan salah satu modal permulaan dalam menjana pendapatan dari rumah. Jika mak-mak yang ceritanya dikongsikan ini tidak tahu apa potensi diri masing-masing maka bagaimana mereka bermula? Dengan hanya duduk termenung memikirkan duit, mahu kerja apa, penat cari kerja di sana sini tapi semua tidak berhasil. Itu hanya menimbulkan tekanan.

Fikir sejenak sambil melihat anak-anak bermain, tulislah potensi diri. Senarai itu mungkin membantu. Contohnya mempunyai bakat menjahit seperti Puan Dila Aris, maka gunakan bakat itu dengan mengambil tempahan menjahit baju, langsir, beg dan sebagainya. Contoh lain mungkin mahir dalam bidang penulisan seperti Puan Yusnida yang bermula sebagai guru tuisyen dan menjadi seorang penulis novel.


Bijak Mencari Peluang


Setelah mengetahui potensi diri, tibalah masanya mencari peluang yang ada. Cuba dulu baru tahu. Gunakan teknologi moden yang sudah tersedia secara percuma di depan mata. Begitulah kebanyakkan cara yang mereka gunakan di dalam kisah inspirasi ini. 


Bina Perniagaan Sendiri

Bermula dengan potensi diri tanpa disedari kita sudah mula mencipta perniagaan sendiri. Contohnya, Puan Norzaihana Che Hashim bermula dengan kemahiran jahitan. Pada mulanya beliau hanya mahu belajar menjahit untuk baju sendiri dan tidak terfikir hingga ke tahap mahu berniaga dalam bisnes jahitan.

Dari menjahit baju sendiri kini beliau sudah mencipta jenama jahitan hasil kerja tangan sendiri. Sungguh hebat ibu ini, bukan?


Bina Networking

Walaupun berada di rumah itu tidak bermakna dunia kita sudah tertutup rapat dengan dunia luar. Melalui media sosial kita boleh membina jaringan perhubungan di kalangan mak-mak bekerja di rumah. Boleh saja sertai grup-grup seperti upah jahit baju, masak apa hari ini, delivery makanan, grup bazar dan sebagainya.

Grup-grup seperti ini berpotensi menghasilkan bakal pelanggan kepada perniagaan kita kerana tidak semua orang pandai menjahit baju, tidak ramai ibu-ibu bekerja punya masa untuk memasak dan sebaginya. Disinilah peluang kita bermula.



Manfaatkan Sumber Yang Ada

Terdapat sebilangan mak-mak yang baru mahu bermula tetapi tidak tahu cara bagaimana hendak bermula. Kebanyakkan mereka memikikan tak ada modal nak beli stok. Tak ada pengalaman berniaga sebab bukan darah keturunan orang-orang bisnes. Saya pemalu nak jumpa orang, macam mana mahu menjual? Begitulah seribu satu persoalan yang sering dikongsi oleh mak-mak yang baru hendak bermula.

Manfaatkan sumber yang ada. Cuba selongkar almari baju. Cek mana-mana pakaian yang masih elok dan tidak di pakai lagi. Mungkin saja pakaian itu boleh dijadikan bahan jualan seperti jual baju terpakai. Daripada tersimpan berhabuk di dalam almari lebih baik dijual. Boleh juga menghasilkan sumber pendapatan. Betul tak?


Kesimpulan

Kesimpulannya, kepada mak-mak yang yang sedang dalam dilema bagaimana mahu bermula jana wang dari rumah, saya sarankan kalian baca kisah penuh ebook Inspirasi Bekerja Di Rumah ini hasil nukilan Puan Masayu Ahmad.

Kisah-kisah yang dipaparkan sangat memberi inspirasi dan idea bagaimana kita boleh bermula dari rumah.





1 comment:

  1. Salam kenalan sis.

    Saya surirumah sepenuh masa, 7 org anak setakat ni.

    ReplyDelete

Aroma Dapur Adhwa: Keria Gula Merah

Alhamdulillah. Penutup September dan pembuka Oktober, banyaknya berita-berita indah. Ingatkan bolehlah tidur dengan lena tapi kan sama ju...

Post Paling Popular